|
Firdaus mula ditubuhkan pada tahun 1995 di Pusat Matrikulasi,
Universiti Utara Malaysia dengan nama asal De Firdaus. Pada
awalnya, kumpulan ini bernaung di bawah Unit Kesenian,
Persatuan Pelajar Islam, Pusat Matrikulasi, UUM. Setiap kali
mula mendaftarnya para pelajar baru, maka kumpulan ini telah
membuka keahlian mereka kepada para pelajar baru ini untuk
menjadi pelapis dalam memperjuangkan irama nasyid. Maka,
timbullah identiti kumpulan ini sebagai kumpulan nasyid yang
mempunyai pelbagai generasi. Sehingga profil ini ditulis,
kumpulan ini telah mempunyai 7 generasi kesemuanya.
Kumpulan ini pada dasarnya diilhamkan oleh ketua kumpulan
iaitu, Mohd. Khairil Azrin Rafli. Beliau merupakan bekas
anggota kumpulan Suara SMAKL dan juga kumpulan Anugerah.
Pengalaman yang ditimba oleh beliau menerusi 2 album sewaktu
persekolahan menengah beliau telah dicurahkan untuk memajukan
kumpulan ini.
Pada awalnya, kumpulan ini sekadar membuat persembahan untuk
majlis-majlis anjuran persatuan, kolej-kolej di UUM serta
sekolah-sekolah di sekitar utara semenanjung Malaysia. Mereka
juga menyertai pertandingan-pertandingan nasyid anjuran
pelbagai IPT di seluruh Negara.
Perkembangan industri hiburan yang menjurus ke arah nasyid
pada awal 1997 telah mendorong enam orang anggota dari
kumpulan ini untuk mencuba nasib bagi merakamkan album untuk
pasaran komersial. Mujahid Abd Wahab (Nowseeheart) merupakan
orang yang telah memperkenalkan kumpulan ini kepada wakil syar ikat
rakaman SRC. Setelah melalui pelbagai sesi ujibakat di bawah
bimbingan En Adnan Abu Hassan akhirnya pada 1 Ogos 1997, enam
orang anggota kumpulan ini telah menandatangani perjanjian
kontrak sebagai artis Suria Records (SRC) dengan nama FIRDAUS.
Enam orang anggota itu ialah, Mohamad Ismandi Wasli, Mohd.
Idzwan Yacob, Mohd. Khairil Azrin Rafli, Mohamad Rasul Mohd.
Noor, Syed Fadilah Syed Alias dan Mohd. Tarmidi Mahli.
Album pertama kumpulan ini telah diterbitkan oleh Ahmad
Sharani Ismail dan telah mula dipasarkan pada 3 Mac 1998.
Album yang berjudul ‘Keampunan’ ini telah mula memperkenalkan
kumpulan ini ke persada industri hiburan nasyid tanah air.
Antara lagu yang mendapat perhatian ialah Permata Ayah Bonda
serta Keampunan.
Antara komposer yang telah memberikan sentuhan mereka di dalam
album ini ialah Adnan Abu Hassan, Yassin dan Isman (Hijjaz).
Album ini telah mencatat penjualan memberangsangkan sehingga
mendorong syarikat rakaman mereka untuk menghasilkan album
kedua kumpulan Firdaus.
Oleh kerana kesibukan dengan kuliah dan akademik, rakaman
album kedua kumpulan ini telah mengambil masa yang agak
panjang. Album kali ini menampilkan sentuhan penerbit yang
pernah menjulang anugerah Album Terbaik dalam Anugerah
Industri Muzik (AIM) 2000 iaitu Suhaimi Mohd. Zain atau lebih
dikenali sebagai Pak Ngah. Menerusi album ini, Firdaus hanya
tampil bersama 4 orang anggota sahaja kerana dua anggota asal
kumpulan ini iaitu Khairil Azrin dan Syed Fadillah telahpun
menarik diri.
Pada 16 Oktober 2000, kumpulan ini telah muncul dengan album
kedua mereka yang diterbitkan oleh Pak Ngah dan Eddie Marzuki.
Album yang berjudul ‘Fisabilillah’ ini menekankan konsep irama
muzik etnik kreatif seperti irama padang pasir, rebana keras,
zapin dan sebagainya. Album ini telah mendapat sentuhan
komposer2 seperti Pak Ngah, Rosli Selaseh dan juga Fadzil
Ahmad.
Album mereka yang ketiga pula telah muncul pada penghujung
tahun 2002. Album yang berjudul Cinta Dan Harapan itu telah
menampilkan sentuhan penerbit Isman Nadim (Hijjaz) dan juga
Mujahid Abd. Wahab (Nowseeheart). Antara lain album tersebut
menaruhkan lagu2 sentuhan komposer seperti Isman Nadim,
Mujahid, Ajai, Alfa Booty, Khairil Azrin, Trabye dan Rosli
Selaseh.
Anggota kumpulan ini telah pun bekerja di Universiti Utara
Malaysia, tempat di mana Firdaus tercetus. Sehingga kali
terakhir profil ini ditulis, Kumpulan Firdaus telahpun menyiapkan album terbaru mereka yang juga
album keempat mereka. Album yang bertajuk - Dunia
Yang Lebih Indah itu telahpun dipasarkan pada 11 September
2006. Album ini menurut Firdaus merupakan hasil karya mereka
yang terbaik sejak mereka berkecimpung dalam bidang seni ini.
Sehingga kini, single pertama dari album tersebut yang
berjudul Ku Berlari (featuring Cat Farish dan Akbar) mula
mendapat perhatian peminat dan sering diputarkan di
corong-corong radio. Kumpulan Firdaus berharap album
tersebut akan mendapat sambutan yang baik dari semua
penggemar industri muzik tanahair. |